Sunday 20 February 2011

penetapan gaji maksimun,,!!!!!!!

PUTRAJAYA: Kerajaan tetap meneruskan usaha melaksana cadangan penetapan gaji minimum dan cuba meyakinkan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengenai kepentingan dasar itu walaupun dibantah keras institusi terbabit.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kerajaan akan memperjelaskan mengenai manfaat jangka panjang dasar itu dan berharap MEF dapat menerimanya apabila pelaksanaan gaji minimum dimuktamadkan nanti.
"Kita faham MEF membantah perkara ini kerana mereka mempunyai pandangan atau pendapat tersendiri mengenai pelaksanaannya tetapi apa yang kerajaan lakukan ini untuk kepentingan semua pihak.
"Walaupun kerajaan sudah memberi jaminan dasar gaji minimum tidak memberi kesan ketara terhadap sektor industri, MEF tetap dengan pendirian bahawa pelaksanaannya mampu menjejaskan perniagaan tempatan kerana ia lebih menguntungkan pekerja tidak mahir, terutama pekerja asing.

"Namun, dasar gaji minimum ini merangkumi semua sektor dan setiap majikan wajib mematuhinya apabila dilaksana kelak dan kerajaan akan bertindak sebagai badan kawal selia," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, MEF menyuarakan pendapat bahawa pelaksanaan dasar gaji minimum yang tidak selaras dengan kadar peningkatan pengeluaran dan prestasi akan memudaratkan daya saing negara secara keseluruhan. Tambahan pula, tiada penambahan peluang kerja berlaku di negara yang sudah melaksanakan dasar gaji minimum.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, berkata pihaknya mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan itu secara terperinci sama ada mampu mencapai sasaran, berasaskan pada senario pasaran kerja tempatan dan keadaan ekonomi semasa.
Atas dasar itu, katanya, MEF mengalu-alukan keputusan kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (NWCC) baru-baru ini tetapi tindakan menggubal Akta Gaji Minimum 2011 sebelum penubuhan NWCC dizahirkan mencetus kerisauan di kalangan majikan.

Kadar gaji sektor swasta negara kini ditentukan mengikut kuasa pasaran dengan penetapan dibuat berdasarkan permintaan dan penawaran dalam pasaran kerja semasa.

Tiga cara diguna pakai kerajaan untuk penetapan gaji adalah melalui kuasa pasaran, perjanjian bersama (CA) dan Majlis Penetapan Gaji (MPG) yang ditubuhkan mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 bagi golongan pekerja mudah tertindas dalam sektor yang tiada mekanisma berkesan menetapkan gaji serta syarat pekerjaan.

Sehingga kini, kerajaan menubuhkan 11 MPG yang bertanggungjawab menetapkan gaji minimum dan syarat pekerjaan bagi golongan pekerja dalam sektor tertentu.
Sumber : Berita Harian, 07/01/2011
DOAKAN IMPIAN CIKSYIKIN TERCAPAI

0 Budak Comel:

Post a Comment